Friday, August 8, 2008

~alHamduLillaH~


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Ana panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan keizinanNya ana dapat meneruskan kehidupan ini dengan nikmat kesihatan yang baik.

Akhirnya ana dapat menghabiskan latihan mengajar ana dengan jayanya pada 25hb Julai yang lalu. Walaupun di sepanjang latihan tersebut banyak dugaaan dan rintangan yang ana tempuhi, tetapi dengan kekuatan dan kesabaran yang Allah kurniakan kepada ana, maka ana dapat mengharunginya dengan hati yang tabah.

Kini, ana kembali ke UTM untuk meneruskan pengajian ana bagi semester yang terakhir, sebelum menunggu posting pada tahun hadapan. Moga dengan ilmu dan pengalaman yang ana peroleh ini dapat membantu ana dalam mempersiapkan diri bagi menuju dunia pendidikan.

Di sini ana kongsikan sedikit pengalaman ana di sepanjang menjalani latihan mengajar di sekolah menengah di Johor Bahru bermula dari 14 April-25 Julai 2008. Apa yang boleh ana katakan, profesion guru itu bukan mudah seperti yang disangka. Ia memerlukan kesabaran dan kesediaan dari segi ilmu sebelum memulakan pengajaran. Sebagai seorang guru, kita harus ingat tanggungjawab kita bukan sekada mengajar tetapi jua sebagai seorang pendidik. Mendidik di sini membawa maksud cuba mengubah sikap atau akhlak pelajar dari buruk kepada yang lebih baik. Kita harus terapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar tersebut.

Sebagai seorang guru, kita seharusnya menjadi kawan kepada mereka dan cuba mendekati mereka dan mengenalpasti masalah pelajar-pelajar kita. Jika kita mempunyai 40 orang pelajar, maka 40 orang pelajar itu mempunyai 'characteristic' yang berbeza. Ternyata semua ibubapa mengharapkan kita sebagai guru bukan sekadar mengajar mereka malah menegur jika ada kesalahan yang dilakukan. Cuma kita kena ingat pelajar sekarang tidak sama dengan pelajar dahulu, pelajar sekarang ternyata lebih terdedah kepada dunia luar dengan pelbagai masalah sosial yang berlaku. Oleh itu, sebagai seorang guru kita harus pandai menangani masalah ini.

Di sepanjang latihan mengaar itu juga, ana juga menjadi warden asrama sementara memandangkan ana tinggal di asrama sekolah. Ternyata tinggal di luar sekolah berbeza dengan tinggal di asrama sekolah. Tetapi, tinggal di asrama ini lebih mendekatkan kita dengan pelajar-pelajar.

Hari terakhir ana di sekolah, para pelajar membuat kejutan dengan mengadakan jamuan sempena tamatnya latihan mengajar ana di sekolah. Ada yang siap bawa nasi arab, kek, kad ucapan dan macam-macam lagi. Malam tu pula tetiba ana rasa kurang sihat, tetapi ketuan warden, umi merancang dengan pelajar-pelajar asrama untuk menyambut majlis perpisahan. Malam itu dengan tidak semena-mena air mata mengalir dengan derasnya tika diri dipanggil untuk memberikan ucapan sempena insan yang diraikan pada malam itu. Hadiah yang diberikan cukup dihargai sebagai tanda kenangan buat ana.

Akhir kata, ana mengucapkan sekalung penghargaan kepada pihak sekolah dan para pelajar semua yang telah memberikan kerjasama di sepanjang latihan mengajar ana di sekolah. Moga kenangan kita bersama akan terpahat di sanubari ana. Pesanan dari cikgu buat anak didik yang dikasihi ialah belajar rajin-rajin, jadi anak yang solehah dengan menggembirakan ibubapa kita dengan keputusan peperiksaan, jaga diri dan akhlak, lakukan kebaikan dan jauhi kemungkaran.

Wassalam.

No comments: