Memilih Suami Yang Soleh
http://an-nawawi. blogspot. com
Melalui artikel yang lalu, saya ada membawakan berkenaan sekitar persoalan memilih isteri solehah di bawah tajuk “Memilih Calun Isteri Anjuran Raulullah s.a.w.”. Kali ini, insya-Allah saya akan cuba membawakan/membenta ngkan persoalan lelaki yang sewajarnya dipilih (atau yang menjadi keutamaan) menjadi suami.
Berdasarkan artikel yang lepas, ramai yang bertanya, masih wujudkah wanita seperti itu. Jawab saya melalui artikel ini, “Ya, masih wujud.” Kalau tidak wujud, anda sebagai wanita yang membacanya, perlulah berusaha mewujudkannya.
Dan andainya, dirasakan terlalu sukar untuk memenuhi kriteria yang saya cuba utarakan/sampaikan, tiada salahnya memilih yang terbaik di antara yang ada yang menghampiri kepada kriteria-kriteria yang dibawakan dalam artikel yang lalu. Secara kesimpulannya, dahulukanlah keutamaan agamanya dan yang mendekati ciri-ciri yang baik tersebut. – wallahu a’lam...
Untuk artikel kali ini, saya cuba membawakan beberapa ciri asas sahaja dan penjelasannya saya serahkan kepada anda untuk memikirkannya/ menimbangkannya. Dalam persoalan memilih atau mencarikan suami untuk seseorang wanita, wali atau ibu bapa memainkan peranan yang penting sekali dalam hal ini. Ini adalah kerana, mereka berperanan sebagai perantara kepada anak-anak perempuan mereka dalam kebanyakan urusan. Di samping mendidik, menjaga, memelihara, para wali/ibu bapa juga berperanan untuk menikahkan anak gadis mereka masing-masing. Untuk itu, adalah penting untuk kita mengetahui bagaimana ciri-ciri asas seorang lelaki yang wajar dinikahkan kepada anak gadisnya menurut sisi garisan/pandangan Islam.
Kriteria Umum Seorang Suami Pilihan
Kriteria yang pertama adalah keutamaan kepada yang baik agamanya. Ini diukur kepada akidahnya dan bagaimana dia beramal dengan Islam. Adakah ia menjaga solatnya, akhlaknya, dan seumpamanya. Ini adalah berdasarkan hadis ini:
“Apabila orang yang kamu redha agama dan akhlaknya datang meminang, hendaklah kamu kahwinkannya. Sekiranya kamu tidak melakukannya nescaya akan timbul fitnah dan kerosakan di atas muka bumi.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi dalam kitab nikah, (no. 1080) daripada Abu Hatim al-Munzi)
Kemudiannya, hendaklah lelaki itu yang memiliki ciri-ciri kepimpinan yang baik bagi memimpin sebuah rumahtangga dan institusi kekeluargaan.
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka.” (an-Nisa’ 4: 34)
Ini adalah bagi menjamin antaranya keselamatan, kebahagian, nafkah (kewangan), dan pengurusan yang baik. Dalam persoalan lelaki sebagai pemimpin, lelaki dilebihkan dalam beberapa hal, antaranya adalah keupayaan fizikal yang melebihi wanita, dan kebolehan untuk bergerak dalam melaksanakan kerja/tugasan di luar.
Di samping itu, lelaki/suami juga perlulah berupaya mendidik keluarganya ke arah agama dan kehidupan yang baik. Ini adalah bagi menjamin kesejahteraan dalam berumahtangga, melahirkan zuriat yang soleh-solehah serta menjamin kebaikan di akhirat kelak. Oleh itu, bagi memiliki daya kepimpinan yang baik, suami juga perlulah memiliki ilmu yang sewajarnya bagi menjamin keluarga sentiasa dalam keadaan yang aman, harmoni dan bahagia.
Di dalam firman Allah s.w.t., maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya Malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan mereka selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At-Tahrim: 6)
Di dalam ayat tersebut juga dinyatakan bahawa, suami atau seseorang individu itu bertanggungjawab untuk memastikan keluarga sentiasa dalam naungan agama yang sahih dan baik bagi menjamin keselamatan ahli keluarganya dari keburukan di akhirat.
Antara lain, para wali berperanan untuk memilihkan calon suami yang menepati kehendak anak perempuannya dan yang disukainya. Tidak begitu wajar, jika anak perempuan dipaksa untuk menikah dengan seorang lelaki yang tidak disuakainya. Dalam hal ini, para wali juga wajar mencarikan lelaki yang baik parasnya (yang disukai) di samping beberapa ciri yang sebelumnya. Dalam hal ini, Ibnul Jauzi berkata:
“Disukai bagi yang ingin menikahkan anak gadisnya agar memilih pemuda yang bagus parasnya. Kerana kaum wanita juga menyukai apa yang disukai oleh kaum lelaki.” (Ahkaamun Nisaa’, hal. 203)
Ibu bapa dan para wali juga perlulah memerhatikan dengan siapakah anaknya dinikahkan. Ini adalah bagi memastikan anak gadisnya bernikah dengan orang yang tepat dan baik serta memastikan kehidupan rumahtangga yang bahagia di masa hadapan.
Dalam satu riwayat, ketika Fatimah binti Qais r.ha. datang kepada Nabi s.a.w. bagi mengkhabarkan bahawa Abu Jahm dan Mu’awiyah bin Abi Sufyan datang meminangnya, Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya: “Mu’awiyah adalah lelaki miskin tidak punyai harta, adapun Abu Jahm adalah lelaki yang suka memukul wanita, maka nikahlah dengan Usamah bin Zaid.” Fatimah mengisyaratkan dengan tangannya tanda menolak, yakni jangan Usamah, jangan Usamah!
Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya:
“Mentaati Allah dan Rasul-Nya adalah lebih baik bagimu.” Fatimah berkata: “Akupun menikah dengannya dan aku bahagia sekali.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan supaya lelaki yang dipilih itu mampu memenuhi keperluan nafkah keluarga dan janganlah dinikahkan anak (wanita) itu dengan seseorang lelaki yang tidak pasti sama ada dapat melayani/menjaga anak gadisnya dengan baik atau tidak.
Selain itu, menurut imam Nawawi rahimahullah di dalam Syarh Sahih Muslim, beliau menyatakan tentang hadis ini bahawa:
“Adapun anjuran Nabi s.a.w. agar menikahi Usamah adalah kerana beliau mengetahui kadar agamanya, keutamaannya, keelokan perangai dan kemuliaannya. Maka Nabi menganjurkan agar menikah dengannya. Namun Fatimah tidak menyukainya kerana Usamah bekas budak dan warna kulitnya hitam. Maka Nabi s.a.w. terus menerus menganjurkannya agar menikah dengan Usamah. Kerana Rasulullah s.a.w. mengetahui kemaslahatannya bagi Fatimah. Dan ini terbukti.”
Terdapat suatu hadis yang lain yang menyatakan, lelaki dianjurkan dari kalangan yang mampu memberi nafkah yang baik/mampu.
“Wahai para pemuda, barangsiapa di antara kalian yang mampu menikah, maka menikahlah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, (no. 5066))
Dari ini juga membuktikan bahawa kesepadanan dan keselarasan dalam Islam adalah amat penting dan agama merupakan suatu asas yang paling utama mengatasi paras rupa dan kedudukan/harta.
Seterusnya, dianjurkan untuk seseorang wanita bernikah dengan lelaki yang sebaya usianya. Dan tidak digalakkan untuk seorang wanita menikah dengan seorang lelaki yang jauh lebih tua darinya atau berusia.
Diriwayatkan dari Buraidah bin al-Hushaib r.a. ia berkata: “Abu Bakar dan Umar r.a. datang meminang Fatimah r.ha..” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ia masih kecil.”
Lalu Ali r.a. datang meminang dan Rasulullah s.a.w. menikahkan Fatimah dengannya. (Diriwayatkan oleh an-Nasa’i dengan sanad yang hasan)
Dan imam an-Nasa’i juga telah meletakkan suatu bab di dalam sebuah kitabnya (as-Sunan ash-Shugra) atas tajuk “Menikahkan Wanita dengan Lelaki yang Sebaya Usia Dengannya.”
Seterusnya, para wali berhak untuk menikahkan atau menawarkan anak gadis beliau kepada pemuda yang baik-baik. Ini dikira dari sudut agamanya (kesolehan).
Dalam Fathul Bari (9/83), al-Hafiz Ibnu Hajar berkata:
“Seseorang dibolehkan untuk menawarkan anak gadisnya atau wanita yang berada di bawah tanggungjawabnya kepada lelaki yang diyakini baik dan soleh. Kerana hal itu akan membawa manfaat kepada yang ditawarkan dan seseorang tidak perlu merasa malu untuk melakukan hal itu. Dan juga diperbolehkan ia menawarkannya kepada lelaki soleh walaupun ia sudah beristeri.”
Malah, wanita itu dibolehkan untuk menawarkan dirinya (untuk dinikahi) kepada lelaki yang diketahui kesolehannya.
Ini berdasarkan kepada suatu riwayat, dari anas bin Malik r.a. ia berkata: “Seorang wanita datang menawarkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w. Ia berkata: “Wahai Rasulullah, apakah engkau mempunyai keinginan untuk menikahiku?””
Puteri Anas berkata: “Betapa sedikit rasa malunya, alangkah buruk wanita ini, alangkah jelek wanita ini!”
Anas berkata: “Dia lebih baik daripada dirimu. Ia mencintai Rasulullah s.a.w. dan menawarkan dirinya kepada beliau.” (Diriwayatkan oleh Bukhari, 3/246, an-Nasa’i, dan Ibnu Majah)
Dalam persoalan ini juga, imam Bukhari telah meletakkan satu bab bertajuk “Seorang Wanita Menawarkan Dirinya Kepada Lelaki Soleh”.
Akhir sekali, adalah dilarang wanita yang baik dan solehah, dinikahkan/bernikah dengan lelaki yang buruk atau seorang penzina.
Ini adalah berdasarkan Firman Allah s.w.t. ini,
“Laki-laki yang berzina tidak mengawini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik...” (an-Nuur 24: 3)
Secara keselurannya, sebagai kesimpulan, diajurkan para wali atau wanita untuk memilih calon suami yang baik agamanya (lelaki soleh) sebagai keutamaan, memiliki daya kepimpinan yang baik dalam persoalan kekeluargaan, memiliki kemampuan dari segi kewangan dan ilmu, dan memliki keterampilan/ personaliti yang disenangi oleh si wanita. Perlu ditekankan, bahawa dalam banyak riwayat, ditunjukkan bahawa pengaruh agama itu lebih diberi keutamaan berbanding ciri-ciri yang lainnya. Malah, di dalam beberapa hadis menunjukkan bahawa ada lelaki yang miskin namun baik agamanya, adalah diberi kepercayaan/ saranan oleh nabi s.a.w. sendiri.
Pilihlah yang baik agamanya sebagai priority...
“... jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha mengetahui.” (an-Nuur 24: 32)
Wallahu a’lam...
Friday, August 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment